Selasa, 9 September 2014

Ketahui Kadar Caj Panggilan Ke Nombor 1800 dan 1300


Pernahkah anda membuat panggilan ke nombor 1800 dan 1300? Tahukah anda beza diantara kedua-dua nombor ini dan berapa yang anda perlu bayar untuk call ke nombor-nombor ini ketika memesan pizza ataupun membuat aduan kepada syarikat-syarikat penyedia perkidmatan.

TM menggelarnya TollFree 1800 dan TollFree 1300 manakala Maxis pula memberi nama Freefone 1800 dan Localfone 1300. Boleh dikatakan nama produk TM agak mengelirukan berbanding Maxis yang memberikan nama yang lebih tepat untuk menggambarkan produk perkhidmatan mereka.

1800 - Toll free

Secara ringkasnya sejak tahun 2011, semua panggilan ke nombor 1800 adalah percuma dari mana-mana telefon didalam Malaysia termasuk talian tetap dan handphone, postpaid dan prepaid. Pemanggil tidak perlu membayar apa-apa pada bil ataupun baki prepaid mereka untuk memanggil nombor 1800. Sebaliknya cas tersebut akan ditanggung oleh pihak yang menerima panggilan.

1300 - Local rate

Berbeza dengan nombor 1300. Pemanggil akan dikenakan cas panggilan tempatan. Ia bermaksud, jika pemanggil berada di KL, cas yang dikenakan sama seperti memanggil ke nombor 03 manakala jika pemanggil berada di Kota Kinabalu pula cas yang dikenakan adalah seperti membuat panggilan ke nombor 088. Jadi kadar caj adalah bergantung kepada pelan panggilan yang anda langgan,

1600 - Premium rate

Satu lagi nombor yang perlu diketahui adalah nombor yang bermula dengan 1600. Ianya popular sekitar tahun 90-an dimana ketika itu nombornya bermula dengan 600 tanpa 1 dihadapan. Nombor ini adalah Premium Rate dimana caj yang tinggi dikenakan kepada pemanggil manakala penerima penggilan akan menerima bahagian dari cas tersebut untuk membuat keuntungan.

Nombor-nombor 1600 ini tidak lagi kelihatan pada hari ini. Bagi mereka yang berusia lingkungan 30-an, kenangan call ke nombor 600 untuk mendengar lagu Awas nyanian KRU kekal menjadi memori terindah zaman sekolah.  ツ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan